story image
 
 
Diterbitkan:  Dec 29, 2023 6:16 PM
Dikemaskini: 6:16 PM
 

Pencalonan bagi Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 dibuka mulai hari ini sehingga 29 Feb 2024, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Motac dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganugerahan ASN 2024 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Anugerah Seniman Negara yang melibatkan seorang penerima, Anugerah Karyawan Seni (lima penerima) dan Anugerah Pendokong Seni (tiga penerima).

Pada anugerah itu, penerima Anugerah Seniman Negara akan membawa pulang antaranya wang tunai berjumlah RM60,000, watikah penganugerahan, dan trofi, di samping mendapat kemudahan rawatan kelas pertama di hospital kerajaan, manakala bagi Anugerah Karyawan Seni, penerima akan menerima wang tunai RM30,000, watikah, trofi dan seniman tamu.

Bagi Anugerah Pendokong Seni, penerima akan menerima wang tunai RM10,000, watikah dan trofi. 

“Semua pencalonan perlulah melalui Borang Pencalonan ASN 2024 dan dokumen sokongan perlulah dikemukakan melalui e-mel dalam bentuk softcopy kepada Ketua Pengarah Jabatan/Agensi yang mempengerusikan Jawatankuasa Pencarian/Pencalonan ASN 2024 mengikut kategori masing-masing.

“Motac mengalu-alukan penggiat seni, karyawan dan seniman dalam bidang seni muzik, seni tari, seni lakon (pementasan), seni kraf dan seni visual untuk mengemukakan pencalonan bagi Anugerah Seni Negara 2024 ini,” menurut kenyataan itu.

Anugerah Karyawan Seni membabitkan lima penerima iaitu Anugerah Karyawan Seni Muzik, Anugerah Karyawan Seni Tari, Anugerah Karyawan Seni Lakon, Anugerah Karyawan Seni Kraf dan Anugerah Karyawan Seni Visual manakala Anugerah Pendokong Seni membabitkan tiga penerima iaitu media, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

ASN adalah anugerah dan pengiktirafan tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan serta sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air, meliputi lima bidang iaitu seni muzik, seni tari, seni lakon, seni kraf dan seni visual.

Keterangan lanjut mengenai borang pencalonan dan perincian ASN 2024 boleh diperoleh di laman web www.motac.gov.my.

- Bernama